CARA MENANAM CILI DAN HALIA

PENGENALAN:
Cili ialah sejenis sayur berbuah yang popular dalam kalangan penduduk di Malaysia. Nama saintifiknya ialah Capsicum annum Linn. Ia dipercayai berasal dari Maxico dan Amerika Selatan tetapi kini ditanam di semua negeri beriklim tropika. Sayuran cili menjadi salah satu ramuan dalam kebanyakan resepi masakan yang boleh hidup lebih subur didalam pasu sekiranya ditanam mengikut kaedah penanaman yang betul.

CARA MENANAM:
Berikut adalah kaedah penanaman sayur cili di dalam pasu yang boleh dijadikan panduan.
• Gunakan tanah campuran yang mengandungi tiga bahagian tanah, satu bahagian tahi ayam reput atau kompos dan satu bahagian pasir. isikan pasu dengan tanah campuran tersebut sehingga 5cm dari permukaan pasu.
• Semai terus 3 atau 4 biji benih ke dalam pasu sedalam 2 hingga 5 cm. Tinggalkan hanya sepokok setiap satu dua minggu selepas menanam.
• Siram pokok pada awal pagi dan lewat petang setiap hari kecuali pada hari hujan.
• Tabur sebanyak satu sudu teh atau 5 gram baja di sekeliling pokok setiap minggu.
• Gunakan juga rumput-rumput kering yang diletakkan di sekeliling pokok sebagai kompos semulajadi.










Selamat mencuba di sekolah bersama murid-murid…
MARI KITA CUBA TANAMAN LAIN…

PENANAMAN HALIA
Pengenalan:
Halia adalah sejenis pokok herba berumbisi atau berubi dan ia dikatakan berasalkan dari Malaysia. Nama saintifik halia ialah Zingiber officinale dari famili tumbuhan Zingiberaceae. Ia sebenarnya adalah sejenis tumbuhan liar dan ubi atau rizomnya boleh menjalar di dalam tanah di kawasan yang lembap, gembur dan kaya dengan bahan organik. Umbisinya yang membesar berwarna kuning dan rasanya agak pedas dan beraroma. Bentuk daunnya pula bujur panjang, runcing dan tirus di hujung.
Tahukah anda bahawa halia sebenarnya banyak digunakan sebagai ramuan penyedap rasa bagi pelbagai masakan bukan sahaja masakan tempatan tetepi juga masakan negara lain di seluruh dunia. Namun, ramai tidak menanamnya sendiri tetapi sebaliknya hanya membelinya dari pasar basah, pasar raya dan sebagainya. Sebenarnya pokok ini senang ditanam dan dijaga serta ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Ia juga tidak memerlukan ruang yang luas untuk tumbuh subur bagi mendapatkan hasil yang memuaskan. Oleh itu, tunggu apa lagi jom kita menanamnya sendiri di rumah.









CARA MENANAM HALIA
Ia mudah ditanam menggunakan kaedah penanaman ubi atau umbisinya. Ikuti kaedahnya seperti berikut:
1) Potong ubinya kepada beberapa keratan. Sebaiknya gunakan ubi yang telah mula tumbuh beberapa tunas anak pokoknya. (foto 2)
2) Tanam keratan ubinya tadi dalam medium tanamannya, timbus dan padatkan disekelilingnya agar anak pokok dapat tumbuh subur menegak. (foto 3 dan 4)
3) Siram dan letakkan di tempat teduh. Jangan biarkan medium tanamannya kering kerana ini boleh membantutkan pertumbuhan anak pokoknya.









CARA PENJAGAAN
Ia mampu hidup tanpa penjagaan yang rapi tetapi pastikan keperluannya seperti berikut dipenuhi untuk mendapatkan pertumbuhan pokok yang lebih subur.
1) Medium tanamannya perlulah gembur dan kaya dengan bahan organik serta sentiasa lembap untuk pertumbuhan yang lebih subur. Oleh itu perbanyakkan siraman air terutama pada hari panas atau musim kemarau.
2) Ia sesuai didedahkan kepada cahaya yang banyak dan juga separuh teduh.
3) Gunakan baja organik seperti baja tahi ayam untuk membajanya.
Ia sangat sesuai untuk ditanam ditanah yang lembap di kawasan yang agak luas kerana ia begitu cepat membiak. Ia juga boleh ditanam di dalam pasu atau bekas tanaman berbentuk cantik untuk dipamerkan di laman atau taman.

PERUBATAN/ KESIHATAN
Selain sebagai ramuan perasa dalam masakan, halia juga dikatakan mempunyai banyak khasiat perubatan. Antaranya membuang angin dalam badan dan dapat mengawal kandungan kolestrol dalam darah. Kaedahnya mudah sahaja iaitu dengan hanya meminum air rebusan umbisinya. Era teknologi kini, halia diproses untuk dijadikan minuman, jeruk, krim langsing, krim kecantikan dan sebagainya yang mudah didapati untuk dibeli di kedai, farmasi atau pasar raya.
SELAMAT MENCUBA & MOGA BERHASIL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan